Hanya pakar layak lakukan sedut lemak

Written by: prod dept Date of published: .

Kuala Lumpur: Prosedur ‘liposuction’ atau sedut lemak hanya boleh dilakukan oleh pakar bertauliah di hospital dan klinik yang berdaftar.

Ia tidak boleh sewenang-wenangnya dilakukan oleh ‘beautician’ atau juru kecantikan di kebanyakan pusat kecantikan yang berorientasikan keuntungan semata-mata.

Presiden Persatuan Perubatan Estetik Malaysia, Dr Chin Shih Choon berkata, prosedur sedut lemak sangat berbahaya dan mendatangkan risiko kepada individu yang mendapatkan rawatan itu.

“Prosedur itu selamat jika dilakukan oleh doktor bertauliah seperti pakar bedah plastik diiktiraf Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Ini kerana mereka sudah terlatih dalam bidang berkenaan.

“Sekiranya dilakukan di pusat kecantikan biasa, mereka tidak mempunyai kepakaran dan berbahaya kepada individu yang mengambil rawatan itu termasuk menyebabkan kematian,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mengulas lanjut, Dr Chin berkata, prosedur sedut lemak perlu dilakukan di bilik pembedahan mempunyai peralatan perubatan yang lengkap.

Katanya, prosedur dilaksanakan bersama pakar bius yang boleh memantau keadaan pesakit seperti pernafasan, kadar denyutan jantung dan sebagainya.

“Timbul masalah sekiranya dilakukan juru kecantikan tidak bertauliah seperti menggunakan ubat tidak tepat dan tidak mengetahui kemungkinan pesakit mempunyai alahan.

“Keadaan lebih buruk apabila pesakit mempunyai masalah kesihatan. Sebab itu pentingnya dilakukan oleh pakar bertauliah di hospital atau klinik,” katanya.

Justeru, beliau menasihati orang ramai yang mahu mendapatkan prosedur sedut lemak merujuk laman sesawang KKM untuk mendapatkan maklumat mengenai hospital atau klinik berdaftar yang mempunyai pakar dalam bidang berkenaan.

Harian Metro semalam melaporkan, hasrat seorang wanita untuk kelihatan cantik bertukar tragedi apabila dia meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan proses sedut lemak di pusat kecantikan di sebuah pusat beli-belah di Cheras, kelmarin.

Difahamkan mangsa berusia 23 tahun itu melakukan prosedur sedut lemak sebagai persediaan untuk melangsungkan perkahwinan dengan kekasihnya yang juga warga Afrika Selatan tahun hadapan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly dilaporkan berkata, mangsa berkunjung ke pusat kecantikan dimiliki seorang wanita dan anak perempuannya untuk melakukan prosedur itu pada jam 2.30 petang.

Source: Harian Metro – https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/10/632747/hanya-pakar-layak-lakukan-sedut-lemak?

×